Pemandu Bas Putus Tangan Dalam Nahas Melibatkan 6 Kenderaan

16 Apr 2023 • 12:14 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, berlaku satu kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM 37 Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman).

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.30 petang semalam, mangsa, Mohamad Amiruddin Azhar, 27, cedera parah sehingga terputus tangan kanan, manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang bas mengalami cedera ringan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, siasatan awal mendapati bas berkenaan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu. Apabila tiba di lokasi kemalangan, bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh lori yang berhenti di lampu merah.

Seterusnya, lori tersebut meluncur ke hadapan dan merempuh empat kenderaan lain yang berada di hadapannya. Bagaimanapun, mangsa lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut laporan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar, kemalangan ngeri itu membabitkan sebuah bas ekspres Mutiara, lori muatan tabung oksigen dan kereta Proton Wira, Honda Jazz, Honda City dan Honda Civic.

Difahamkan, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pemandu bas yang tersepit. Dua penumpang bas yang cedera dan pemandu bas dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan susulan.

Kredit: Harian Metro

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.