
TAWAU: Seorang lelaki berusia 52 tahun didenda RM7,500 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memandu tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan perlanggaran dengan sebuah motosikal.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Tou Kiang selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mahkamah turut memerintahkan Chin membayar pampasan RM5,000 kepada ibu mangsa yang meninggal dunia.
Pertuduhan asal mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Zikrull Abdullah telah dipinda kepada Seksyen 43(1) akta sama.
Keputusan itu dibuat ketika mahkamah menyampaikan keputusan pada peringkat pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kesalahan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
Mengikut pertuduhan pindaan, Chin didakwa memandu kenderaannya tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan perlanggaran dengan motosikal yang ditunggang Muhammad pada jam 2.56 petang, 23 April 2025, di Batu 15, Jalan Apas.
Pihak pendakwaan memanggil enam saksi sepanjang perbicaraan.
Pegawai Pendakwa ASP Joan Lee mengendalikan pendakwaan manakala Chin diwakili peguam Ariel Christopher Dasan dan Dominic Chew.




