
KUALA LUMPUR – Pemandu kereta BYD yang tular dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ).
Tertuduh Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
“Tidak mengaku bersalah,” kata tertuduh yang bekerja sebagai pegawai bank itu.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didapati memandu kenderaan jenis BYD Seal dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun iaitu Asiah Ahmad Syahir yang didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 (pindaan 2024) dan boleh di hukum di bawah akta sama.
Hukuman untuk pertuduhan pertama itu memperuntukkan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh didakwa telah memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam dalam suatu kemalangan dan telah gagal berhenti yang didakwa masing-masing mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 52 (1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 119 (2) APJ 1987.
Bagi seksyen 42 (1) hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Sementara bagi seksyen 52 (1) dan dibawah Seksyen 119 (2) hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 atau pemenjaraan tidak lebih enam bulan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut di sini pukul 3.44 petang pada 10 Oktober lalu.
Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, menawarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan, iaitu RM25,000 bagi pertuduhan pertama, RM15,000 bagi pertuduhan kedua, dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga.
“Pihak pendakwaan turut memohon dua syarat tambahan penggantungan lesen memandu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan anak guamnya tidak berisiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
“Bapa tertuduh berusia 55 tahun dan sepanjang siasatan tertuduh dan keluarganya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis seawal tempoh 24 jam pertama kejadian, termasuk menyerahkan butiran rawatan hospital dan nombor katil kepada pegawai penyiasat,” kata peguam itu.
Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak Majistret Aliaa Anwar membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini bagi sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE.
The post Pemandu BYD nafi pandu bahaya hingga sebabkan kematian adik Asiah appeared first on Kosmo Online.






