
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar universiti swasta warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap bekas teman wanitanya dan adik lelaki wanita itu menggunakan pisau dalam kejadian di Kepong, 29 September lalu.
Chen Jun, 20, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap dua mangsa warga Malaysia berusia 21 dan 18 tahun menggunakan sebilah pisau dengan cara yang boleh membahayakan nyawa.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, kira-kira jam 5 pagi pada tarikh berkenaan.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Chen didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jumlah RM8,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam bela, Ling Yee Siew, memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya sedang mengikuti pengajian dalam bidang kewangan dan tidak berisiko melarikan diri.
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan laporan perubatan sebuah hospital swasta bertarikh 14 September lalu, tertuduh mengalami kemurungan.
Katanya, jaminan rendah diperlukan bagi membolehkan anak guamnya menjalani rawatan susulan untuk kecederaan kaki yang didakwa dialami akibat perbuatannya sendiri ketika mengalami kemurungan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Chen yang hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda, akan kembali ke mahkamah pada 11 November ini untuk sebutan semula kes. - Getaran, 15 Oktober 2026






