Pemandu cuai didenda RM7,000

LocalPolitics
12 Mar 2025 • 6:48 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jo Ann Mool

Kota Kinabalu: Mahkamah Trafik di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM7,000 atau penjara tujuh bulan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa, tahun lalu.

Daniel Chan mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan memandu sebuah Perodua Ativa tanpa mengambil kira keselamatan dan perhatian terhadap pengguna jalan raya lain di simpang Wisma Muis, Jalan Sembulan, pada 5 Okt 2024, jam 5 petang.

Chan didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Menurut fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan, pada hari kejadian, satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Proton Saga dan Perodua Ativa berlaku dekat simpang Wisma Muis.

Pemandu Perodua Ativa, Chan bersama dua penumpang, menuju ke Imago Mall dari Wisma Muis bersama dua penumpang.

Ketika Chan menghampiri simpang utama di Jalan Sembulan, dia berhenti sebelum membelok ke kanan selepas melihat kenderaan dari arah kanan masih berada pada jarak tertentu.

Bagaimanapun, ketika dia memasuki lorong paling kanan, sebuah Proton Saga yang datang dari arah kanan melanggar sisi kenderaannya, menyebabkan ia berpusing.

Perlanggaran itu mengakibatkan penumpang Chan mengalami kecederaan serius dan mereka dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.

Fakta kes turut menyatakan bahawa Chan melakukan kesalahan itu dengan memandu tanpa mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu Chan diendors dengan butiran sabitan kesalahan itu.

Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Mohammad Khairul Nizam Mokhtar, mengendalikan pendakwaan.