
KUALA LUMPUR — Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin sisi sebuah kereta milik seorang wanita menggunakan kayu besbol dalam kejadian di Larkin, Johor, dipercayai kerana berang dengan tindakan mangsa yang tidak memberikan isyarat ketika memandu.
Rakaman video kamera papan pemuka berhubung insiden itu tular di media sosial pada Khamis, memaparkan lelaki terbabit memarahi pemandu wanita berkenaan di tepi jalan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, lelaki tersebut dilihat memberhentikan Toyota Vios berwarna biru miliknya di hadapan kereta mangsa, sebelum keluar dari kenderaan sambil memegang sebatang kayu besbol.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi hentakan pada bahagian kereta mangsa yang dipercayai dilakukan menggunakan kayu besbol berkenaan.
Pemandu wanita itu turut kedengaran menjerit ketakutan dan meminta bantuan daripada orang awam.
Lelaki terbabit kemudian dilihat kembali ke arah Toyota Vios sebelum membawa keluar seorang bayi perempuan, dipercayai anaknya sendiri.
Dia seterusnya memarahi pemandu wanita tersebut sambil menunjuk ke arah bayi berkenaan, sambil memegang kayu besbol di tangan kanannya.
Rakaman sama turut menunjukkan seorang wanita keluar dari bahagian penumpang kiri Toyota Vios tersebut sebelum dilihat bercakap dengan pemandu wanita berkenaan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.
Video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/v/18pNLy5wjR/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 23 Mei 2026
