Pemandu e-hailing dan pemilik bot berdaftar terima kuota tambahan subsidi RON95 sebelum pertengahan Oktober - MOF

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemandu e-hailing dan pemilik bot berdaftar terima kuota tambahan subsidi RON95 sebelum pertengahan Oktober - MOF

image is not available

02/10/2025 - 09:55

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Pemandu e-hailing sepenuh masa dan pemilik bot berdaftar akan menerima had subsidi petrol RON95 tambahan sebelum pertengahan Oktober ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam satu kenyataan memaklumkan, pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu untuk kuota tambahan tersebut.

“Kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat operator e-hailing untuk membuat permohonan secara pukal,” kata kementerian itu.

Selain itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan kelayakan Budi95 kepada warganegara Malaysia yang merupakan pemilik bot berdaftar dan mereka tidak perlu mempunyai lesen memandu yang sah untuk menerima manfaat subsidi ini.

“Kementerian sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berkaitan, seperti Lembaga Sungai Sarawak serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” kata MOF.

Dalam pada itu, Kementerian memaklumkan had subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan untuk warganegara yang layak akan diperbaharui secara automatik pada hari pertama setiap bulan.

Inisiatif BUDI Madani yang diperkenalkan secara berperingkat mulai 27 September telah dilaksanakan sepenuhnya pada Selasa (30 September) untuk manfaat 16 juta rakyat Malaysia yang layak.

Warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang aktif layak membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter, sehingga had 300 liter sebulan.

Sejak dilaksanakan secara berperingkat mulai 27 September 2025, lebih 3 juta pengguna memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta yang melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67 juta. - DagangNews.com

standard