
Pemandu E-Hailing Maut Ditikam, Kereta Dibawa Lari Penyamun
Seorang pemandu e-Hailing dilaporkan meninggal dunia selepas dibunuh dan disamun dalam kereta di Jalan Tlogo Putih, Desa Palebon, Daerah Pedurungan, Semarang, Indonesia pada awal pagi Isnin.
Memetik TribunStyle, mangsa, 27, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di lokasi kejadian oleh seorang penduduk setempat pada jam 3 pagi waktu tempatan.
Pemandu E-Hailing Maut Ditikam
Ketua Polis Daerah Semarang Selatan, Kompol Indra Jaya Syafputra berkata, terdapat empat kesan tikaman pada badan mangsa.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia.
“Luka pertama di leher kanan ialah 4.5 sentimeter, luka kedua di dada kanan adalah 4 sentimeter, luka ketiga di dada kanan ialah 10 sentimeter, dan luka keempat adalah 10.5 sentimeter.
“Manakala kereta yang dipandu mangsa dibawa lari oleh penjenayah selepas disamun. Kereta tersebut disewa mangsa dengan Rp 400,000 (RM121) sehari,” katanya lagi menerusi Kompas.com.
Jelasnya, mangsa ketika itu sedang bekerja dan mencari pelanggan dengan menggunakan kereta jenis Innova reborn berwarna hitam.
Pun begitu, nasibnya tidak baik apabila pelanggan tersebut sebenarnya adalah seorang penyamun.
Dilihat Seorang Saksi
Insiden tersebut bagaimanapun disedari oleh seorang penghuni rumah yang berada berdekatan lokasi kejadian. Menurut saksi, dia terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saksi menyedari kes itu selepas melihat dari tingkap bilik dia menginap sebelum melihat mangsa tertiarap dalam keadaan berlumuran darah.
“Dia kemudiannya mengejutkan penghuni rumah sewa lain dan segera menghubungi pihak polis,” katanya lagi.
Ahli Keluarga Masih Tidak Percaya
Sementara itu, ahli keluarga mangsa sewaktu didatangi pihak polis di rumah seperti tidak percaya dengan kejadian yang berlaku terhadap mangsa.
Menurut ibu saudara mangsa, anak saudaranya itu tidak tinggal di rumah itu sejak berkahwin. Difahamkan, mangsa menyewa sebuah rumah di Kedungmundu Semarang bersama isterinya.
“Sejak kecil, dia tinggal di sini. Saya sangat rapat dengan arwah. Arwah mula berpindah dari rumah selepas berkahwin. Dia berkerja sebagai ejen JNT dan melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing,” ujarnya.
Ibu saudaranya juga memberitahu bahawa isteri mangsa kini sedang mengandung anak pertama mereka.
“Saya sangat sedih kerana mangsa meninggal dunia ketika isterinya masih mengandung anak pertama,” katanya.
Bapa mangsa juga berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya malam kejadian sekitar jam 10 malam.
“Saya risau dengan keadaan isterinya yang mengandung anak pertama pada usia kandungan lima bulan selepas kematian mangsa,” katanya.
Isteri mangsa juga turut menjelaskan bahawa masih sempat berkomunikasi suaminya sebelum tidak dapat dihubungi sekitar jam 1 pagi.
Menurut Detik Jateng, jenazah mangsa telah disembahyangkan di rumah Hari di Jalan Tlogo Putih, Palebon, Semarang sebelum dikebumikan di Ketileng.
Pelaku Berjaya Diberkas Polis
Dalam pada itu, pelaku juga dilaporkan telah berjaya ditangkap oleh pihak polis kurang tiga jam selepas kejadian, maklum Tribun Jateng.
Pelaku,27, mengaku melakukan jenayah berkenaan. Hasil siasatan pihak polis turut mendapati, pelaku terpaksa mengalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapanya dimasukkan ke dalam penjara, lapor Kompas.
Susulan terdesak untuk membayar yuran pengajian adiknya, dia bertindak merancang untuk menyamun kenderaan mangsa sebelum berakhir dengan tragedi bunuh.
Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
Sumber: Tribunstyle, Detik Jateng, Kompas.com
The post Pemandu E-Hailing Maut Ditikam, Kereta Dibawa Lari Penyamun appeared first on Siakap Keli.
