Pemandu e-Hailing OKU Ditumbuk Pengiring VVIP Saman Polis & Kerajaan

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 12:52 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Pemandu e-Hailing OKU Ditumbuk Pengiring VVIP Saman Polis & Kerajaan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Masihkah anda ingat dengan kejadian seorang pemandu e-hailing yang didakwa dipukul oleh seorang individu dipercayai pengawal pengiring orang kenamaan pada 28 Mei 2024?

Dalam kejadian yang berlaku di lobi Hotel St Regis, Kuala Lumpur Sentral itu, pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak, Ong Ing Keong didakwa dipukul ketika sedang mengambil pelanggannya di lobi Hotel St Regis.

Pemandu e-Hailing OKU Fail Saman Sivil Terhadap Polis, Kerajaan

Terbaharu, Ong memfailkan saman sivil menerusi firma guaman Messrs Daim & Gamany berhubung kejadian berkenaan dan pengendalian tidak wajar terhadap laporan polis yang dibuat olehnya.

Dia memfailkan saman tersebut pada 10 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan beberapa pihak sebagai defendan.

Beberapa pihak yang dinamakan sebagai defendan adalah:

  • Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail
  • Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan
  • Ketua Polis Kuala Lumpur
  • Ketua Polis Negara
  • Kerajaan Malaysia

Ong mendakwa kejadian berlaku sewaktu dia mengambil empat penumpang di luar hotel lima bintang itu pada 28 Mei 2024.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dibuat oleh Ong, beberapa individu telah mengarahkannya untuk mengalihkan kenderaan sewaktu penumpangnya masih menaiki keretanya.

Walau bagaimanapun, selepas kesemua penumpang telah masuk dan dia mahu beredar, defendan pertama iaitu Muhammad Taufik Ismail yang berpakaian preman didakwa secara tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap sebelah pemandu tanpa amaran, lapor Harian Metro.

Serangan Sebabkan Mangsa Alami Kesakitan Pada Muka & Kecederaan Tisu Lembut

Ong sebagai plaintif mendakwa, serangan tersebut menyebabkan dia mengalami kesakitan pada muka, kecederaan tisu lembut serta lebam pada bahagian bawah bibir atas.

Malah, insiden itu didakwa turut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) keretanya.

Ong Dakwa Telefon Bimbit Akan Diambil & Hanya Akan Dipulangkan Jika Tarik Laporan Polis

Dakwa Ong, selepas membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan semula di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia telah diminta datang semula ke Balai Polis Travers di mana telefon bimbitnya telah diambil sebaik rakaman video kejadian dimuat turun dari dashcam, lapor Sinar Harian.

Dakwanya lagi, telefon bimbit miliknya hanya akan dipulangkan oleh polis jika dia menarik semula laporan polis serta memadam rakaman berkenaan.

Sebagai OKU Pekak yang hanya bergantung kepada telefon sebagai medium komunikasi, Ong mendakwa dia kehilangan akses alat untuk berkomunikasi selama beberapa jam.

Ong Dakwa Akan Diberi Pampasan RM800 Jika Laporan Polis Ditarik

Ong turut mendakwa tidak diberikan jurubahasa bahasa isyarat, perkhidmatan transkripsi atau bantuan terjemahan meskipun berstatus OKU.

Dakwa Ong lagi, pergerakannya di balai polis juga dihadkan malah turut didesak oleh defendan kedua, Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan agar menarik semula laporan polis dan menyelesaikan perkara itu dengan memberi pampasan sebanyak RM800.

Namun dakwa Ong, dia akhirnya bersetuju untuk berbuat demikian kerana bimbang telefon bimbitnya dirampas.

Pun begitu, Ong memaklumkan kepada polis bahawa siasatan akan diteruskan pada keesokkan harinya.

Ong Turut Tuntut Ganti Rugi Am Atas Dakwaan Serangan, Kecuaian & Salah Guna Kuasa

Menerusi saman itu juga, Ong turut menuntut ganti rugi am atas dakwaan serangan, kecuaian serta salah guna kuasa dalam jawatan am serta pelanggaran tanggungjawab statutory mengikut Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.

Bukan itu sahaja, Ong turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan apa sahaja relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap Muhammad Taufik dan penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia mengaku besalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Ong.

Muhammad Taufik didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 28 Mei 2024, jam 11.40 pagi di lobi Hotel St Regis, Brickfields.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu e-Hailing OKU Kesal Masih Belum Ada Tindakan, Dedah Video Dipukul

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pukul Pemandu e-Hailing OKU: Polis Jelas Pengawal Pengiring Telah Dikenakan Tindakan Tatatertib

Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Pengawal Peribadi VVIP Pukul Pemandu OKU

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved