
TAWAU: Seorang pemandu kereta sapu di Semporna didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan tahun lepas.
Abdul Bustan Mohd Salleh, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad ketika kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya dan memohon untuk dibicarakan.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 14 tahun yang dikenalinya sejak berusia tujuh tahun lagi, berhampiran kawasan Perkuburan Cina, Kg Bukit Lalang, Semporna, kira-kira jam 10.40 pagi pada 23 November 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman denda atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah menaiki kereta tertuduh yang bekerja sendiri mengambil upah menghantar pelajar ke sekolah.
Ketika itu, tertuduh meminjam kereta milik bapa mangsa untuk menjalankan kerjanya kerana keretanya rosak.
Mangsa yang mengenali tertuduh kerana menjadi pelanggan tetap sejak di sekolah rendah di daerah itu, duduk di bahagian kerusi penumpang hadapan apabila tertuduh membuka zip seluar dan mengeluarkan kemaluannya serta memaksa mangsa nelihatnya.
Susulan kejadian itu, mangsa tidak berani pulang menaiki kereta dipandu tertuduh selepas sesi persekolahan tamat pada hari tersebut.
Sebaliknya, mangsa pulang ke rumah menaiki bas dan memberitahu ibunya, 41, berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang, pada hari yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad tampil mendakwa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

