PETANG 1 Jun lalu bertukar menjadi detik hitam di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam.
Dua kereta dipercayai sedang berlumba di jalan raya dan dalam beberapa saat, tindakan membabi buta itu bertukar tragedi meragut nyawa.
Kemalangan bukan sahaja melibatkan kenderaan dipercayai berlumba, malah turut membabitkan pengguna jalan raya lain yang langsung tiada kaitan dengan perlumbaan itu.
Empat nyawa terkorban dalam insiden menyayat hati itu.
Mereka keluar dari rumah menuju ke destinasi untuk bertemu keluarga tercinta, namun perjalanan itu berakhir di atas jalan raya.
Kejadian itu mengingatkan penulis insiden lumba kereta haram melibatkan enam Perodua Myvi pada 2 Mei 2015.
Kemalangan di Lebuhraya Bertingkat Duta-Ulu Klang (DUKE) itu meragut nyawa pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain dan Nova Safitri Azhari, serta bayi perempuan mereka, Nur Firuza Annisa yang berusia enam bulan.
Akibat kejadian itu juga, dua lagi anak mangsa, Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila menjadi yatim piatu.
Fenomena perlumbaan haram dan aksi pemanduan berbahaya di jalan raya terus menjadi ancaman kepada keselamatan awam.
Lebih menyedihkan, dalam banyak kes, individu terkorban bukan mereka yang terlibat perlumbaan tersebut, sebaliknya pengguna jalan raya.
Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai tahap tanggungjawab pemandu serta keberkesanan langkah pencegahan dilaksana pihak berkuasa.
Mereka tidak mempunyai kaitan dengan tindakan berisiko yang dilakukan oleh pelumba jalanan, namun terpaksa menanggung akibat paling tragis.
Sikap segelintir pemandu menjadikan jalan raya awam sebagai litar perlumbaan menunjukkan kegagalan memahami bahawa setiap pengguna jalan raya mempunyai hak sama untuk berada dalam persekitaran selamat.
Keghairahan mengejar kelajuan, mencabar kemampuan kenderaan atau mencari populariti dalam kalangan rakan-rakan sering mengatasi pertimbangan terhadap keselamatan orang lain.
Lebih membimbangkan, ada yang merakam dan memuat naik aksi berbahaya ke media sosial demi mendapatkan perhatian, tanpa memikirkan risiko yang boleh mengorbankan nyawa.
Ramai berpendapat hukuman yang lebih berat perlu dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kematian akibat kecuaian atau perlumbaan haram kerana kesannya melibatkan kehilangan nyawa manusia.
Pada masa sama, penguatkuasaan berterusan melalui operasi khas, kamera pemantauan dan rondaan berkala perlu diperkukuh bagi mengurangkan kecenderungan melakukan kesalahan.
Bagi penulis, pemandu perlu memahami bahawa memegang stereng bukan sekadar mengawal kenderaan, tetapi turut membawa amanah untuk menjaga keselamatan diri dan orang lain.
Ini kerana jalan raya bukan tempat untuk membuktikan keberanian atau kehebatan memandu. Apabila pemandu memilih untuk berlumba atau memandu secara cuai, risikonya bukan hanya terhadap diri sendiri.
Lebih malang, orang lain yang mematuhi undang-undang dan menggunakan jalan raya secara berhemah sering menjadi korban kepada tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Benar ajal maut di tangan Tuhan dan tiada siapa mengetahui bilakah seseorang itu akan pergi buat selama-lamanya menemui Pencipta.
Namun sebagai manusia dikurniakan akal fikiran, kita perlu sentiasa berfikir dengan lebih mendalam sebelum bertindak melakukan sesuatu perkara.
Dalam isu ini, harga dibayar bukan sekadar kerosakan harta benda, tetapi nyawa manusia yang tidak dapat diganti.
*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian






