PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan seorang pemandu lori yang disyaki membuang cecair mengandungi sisa kimia ke kawasan tanah lapang di Jalan Kong Kong Laut, di sini.
Dalam kenyataannya, JAS memaklumkan siasatan dijalankan susulan aduan awam berhubung pembuangan bahan kimia di lokasi berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati sebuah lori membawa kira-kira 150 bekas tong drum plastik berwarna biru yang disyaki mengandungi sisa kimia.
**media[3656601]**
"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan dipercayai telah membuang cecair daripada tong drum tersebut ke kawasan tanah lapang," katanya.
Menurut JAS, pensampelan buangan telah dijalankan untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Negeri Johor.
Pasukan Tangkapan JAS Negeri Johor kemudian menahan pemandu lori terbabit di bawah Seksyen 37C, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut.
"Suspek lelaki berusia 47 tahun itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Alam bagi membantu siasatan.
**media[3656602]**
Kes disiasat mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun terhadap pihak yang didapati melupuskan buangan terjadual secara haram," ujarnya.
JAS menegaskan sebarang aktiviti pelupusan buangan terjadual tanpa kelulusan adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.






