
SHAH ALAM, 23 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan selepas mengesan aliran air berwarna dan pelepasan disyaki sisa minyak ketika menyiasat pencemaran di Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
LUAS menerusi Facebook memaklumkan penemuan itu hasil siasatan terhadap dua aduan di Jalan Telok Mengkuang dan Jalan Perupuk pada 21 September.
Menurut agensi itu, siasatan menggunakan dron dan penyusuran parit di Jalan Telok Mengkuang mendapati aliran air berwarna terkumpul di bahagian hilir sebelum memasuki Sungai Langat.
“Pasukan LUAS telah menemukan sebuah premis kitar semula plastik yang berpotensi menjadi punca aliran air berwarna tersebut, namun tiada aliran berkenaan dikesan dilepaskan daripada premis,” menurut kenyataan LUAS di Facebook.
Bagaimanapun, LUAS mengeluarkan notis di bawah Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2024 atau Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) terhadap premis berkenaan.
Semakan lanjut pula mengesyaki aliran berwarna itu berpunca dari kawasan perindustrian Telok Panglima Garang.
“Pensampelan telah dijalankan di lokasi-lokasi berkenaan untuk analisis lanjut dan semakan susulan akan dilaksanakan di kawasan perindustrian tersebut untuk mengenal pasti punca berkaitan,” menurut LUAS.
Sementara itu, siasatan di Jalan Perupuk yang melibatkan pencemaran saliran parit menemukan aliran air berwarna disyaki berpunca daripada sebuah premis penyalutan logam.
Premis terbabit dilaporkan telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
“Semakan lanjut pasukan LUAS di premis berkenaan mendapati terdapat pelepasan yang disyaki sisa minyak di kawasan parit bersebelahan premis,” menurut kenyataan itu.
LUAS mengambil sampel kualiti air di lokasi berkaitan sebelum menghantarnya ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
Agensi berkenaan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air.




