
DADAH dan stereng bukanlah satu kombinasi yang boleh dipandang sebelah mata, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berat.
Namun, masih ada pemandu yang dikesan positif dadah ketika memandu dengan sebahagiannya memberi alasan mengambil bahan terlarang itu untuk menahan rasa mengantuk dan kekal bertenaga ketika perjalanan jauh.
Dalam 44 Op Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara dari April hingga Jun lalu, seramai 135 individu termasuk 121 pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah.
Operasi itu turut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Hampir 90 peratus daripada tangkapan dalam operasi berkenaan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan.
Penulis sendiri menemu bual seorang pemandu lori yang ditahan dalam Ops Khas Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jitra baru-baru ini yang mendakwa sudah 15 tahun mengambil dadah jenis methamphetamine.
Dakwanya, dia mula terjebak dengan dadah ketika menimang cahaya mata kedua yang kini berusia 15 tahun. Ketika itu, dia bekerja sebagai buruh.
Namun, ketika ditahan dalam operasi itu, dia memberi alasan mengambil dadah untuk menahan rasa mengantuk dan kekal bertenaga sepanjang perjalanan dari Perlis ke Perak.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan merupakan perkara serius kerana turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Terdapat banyak kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan terutamanya akibat daripada pemandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.
Ujarnya, alasan yang paling kerap diberikan adalah mengambil dadah untuk menahan rasa mengantuk serta supaya kekal bertenaga bagi pemanduan dalam tempoh panjang.
“Alasan itu memang tidak boleh diterima kerana terdapat banyak lagi kaedah lebih selamat, termasuk berhenti berehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
“Kita tidak akan sesekali berkompromi dengan pemandu yang mengambil risiko memandu di bawah pengaruh dadah dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.
Katanya, setelah dikenakan tindakan oleh pihak AADK, JPJ seterusnya akan mengenakan tindakan antaranya Lesen Memandu Kompeten dan Lesen Vokasional akan ditahan sehingga siasatan selesai.
Pada masa sama, katanya, pihak majikan juga perlu bertanggungjawab memastikan pemandu bebas daripada dadah.
“Pemandu perlu sedar risiko yang diambil, manakala majikan pula perlu memastikan faktor keselamatan tidak diketepikan dalam mengejar perjalanan dan penghantaran.
“Setiap lori yang keluar ke jalan raya membawa bukan sahaja muatan, tetapi turut mempertaruhkan keselamatan pengguna lain,” katanya.
Tambahnya, JPJ kini melaksanakan Ops Khas Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan yang bermula pada 1 Julai lalu dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan saringan terhadap pemandu kenderaan perdagangan, khususnya bagi mengesan sebarang penyalahgunaan dadah.
The post Pemandu lori ketagih syabu, nyawa jadi taruhan appeared first on Kosmo Online.


