Pemandu lori maut akibat serangan jantung ketika memandu

LocalHealth & Fitness
8 Jul 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu lori maut akibat serangan jantung ketika memandu
Tangkap layar video tular memaparkan seorang pemandu lori meninggal dunia akibat serangan jantung di Kajang pada Selasa.

KAJANG – Seorang pemandu lori meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta jenis Honda yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 46 tahun.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 64 tahun ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih sebelum dipercayai mengalami serangan jantung sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Akibat kejadian itu, lori dipandu mangsa telah mengundur lalu melanggar kereta Honda yang berada di belakang kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Naazron berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang pada Rabu mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan saluran jantung tersumbat.

"Kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Malaysia 1959 manakala kes kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved