
IPOH: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya dihempap batu dalam kejadian di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, Kampung Kepayang, di sini hari ini.
Mangsa, M. Sivakumar, 53, yang tersepit dalam lori akibat kejadian itu disahkan meninggal dunia di lokasi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 5.18 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan BBP Gopeng kemudian digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah lori membawa muatan batu kuari dihempap batu sehingga menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.22 petang,” katanya. – UTUSAN
The post Pemandu lori maut dihempap batu kuari appeared first on Utusan Malaysia.






