
REMBAU – Seorang pemandu lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 235 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu, mangsa berusia 59 tahun yang memandu lori jenis Isuzu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori Isuzu dipandu mangsa dan lori jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 26 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori Scania yang bergerak lurus hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori Isuzu yang berada di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, lori Isuzu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan, melanggar penghadang besi dan terbalik. Pemandunya tercampak keluar dari kenderaan ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala pemandu lori Scania tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori maut tercampak, nahas dua kenderaan appeared first on Kosmo Online.






