
Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori berusia 46 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ummur Khaltom Abd Samad, kepada pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan memeluk remaja berusia 14 tahun itu serta mencium dahi dan pipinya antara jam 10 malam hingga 10.40 malam 1 Okt tahun ini, di dapur sebuah rumah di Inanam, di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, lelaki itu akan berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 6 Jan 2023 untuk pengurusan kes praperbicaraan dan melepaskan lelaki itu dengan ikat jamin RM15,000 serta dua penjamin tempatan dengan salah seorang penjamin mestilah isterinya.
Lelaki itu juga diperintah melaporkan diri di balai Polis Inanam setiap Isnin kedua dan keempat setiap bulan.
Mahkamah turut memberi amaran kepada lelaki itu agar tidak menghubungi atau berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan, terutamanya mangsa, sama ada secara fizikal atau melalui sebarang peranti contohnya telefon bimbit. Sekiranya mahkamah menerima laporan atau aduan rasmi, ikat jaminnya akan dibatalkan.
Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan menyemak dan mengesahkan dengan Jabatan Imigresen sama ada lelaki itu mempunyai pasport, dan mahkamah kemudiannya akan membuat perintah berhubung perkara itu.
Jika gagal membayar jaminan, lelaki itu akan ditahan mengikut Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Fauzi Acho yang menggantikan DPP Siti Hajar Mazlan, hadir untuk pendakwaan manakala peguam Sharonne Nicole Noivont mewakili lelaki itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

