Pemandu mabuk dipenjara 7 hari, denda RM10,000

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh mengaku salah memandu kereta dalam keadaan mabuk.

MELAKA - Seorang pekerja kilang dihukum penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk dua bulan lalu.

Tertuduh, K Haridass Nair, 45, turut dikenakan hukuman lesen memandu digantung selama dua tahun oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memandu kereta dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 108 mg per 100 mililiter (ml) darah, iaitu 58 mg melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Parameswara di sini sekitar jam 2.30 pagi pada 7 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 serta maksimum RM30,000 jika sabit kesalahan.

Pesalah juga berdepan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dari tarikh sabitan bagi kesalahan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai pekerja kilang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.