Isteri Rider Maut Luah Syukur! Pemandu Mabuk Didakwa Membunuh

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 11:59 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang wanita meluahkan rasa lega selepas lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian suaminya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

image is not available

Foto: Utusan

Menurut laporan Kosmo! Online, isteri mangsa Nurul Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia bersyukur apabila suspek akhirnya didakwa atas pertuduhan membunuh susulan insiden yang meragut nyawa suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas pertuduhan ini.
“Saya rasa sedikit lega hari ini. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa. Itu sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online di lobi pekarangan mahkamah.
image is not available

Foto: Kosmo! Online

Nurul Nadia berkata, perkembangan kes tersebut sedikit sebanyak memberikan kelegaan selepas menanggung beban emosi sejak kejadian itu berlaku.

“Saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Rasa diri ini lega sedikit. Alhamdulillah, syukur,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.
image is not available

Foto arkib: Bernama

Hari ini, seorang juruteknik berusia 28 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan khayal, Ahad lalu.

Tertuduh, R. Saktygaanapathy hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah jenis benzodiazepine dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 3.30 petang pada hari yang sama.

image is not available

Foto: Media sosial

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak menawarkan sebarang jaminan selain sebutan semula kes pada 3 Jun depan.

Terdahulu, Amirul Hafiz dilaporkan tercampak dan melambung daripada motosikal ditunggang sebelum badannya jatuh di atas sebuah kenderaan lain akibat impak pelanggaran oleh kereta jenis Honda City yang dipandu tertuduh.

image is not available

Foto: Media sosial

Sumber: Kosmo! Online 1 & 2 (Mohd Yunus Yakkub)

The post Isteri Rider Maut Luah Syukur! Pemandu Mabuk Didakwa Membunuh appeared first on Borak Daily.