Pemandu mabuk sebabkan kematian: Pinda undang-undang, kenakan hukuman lebih berat - Papparaidu

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Papparaidu

KLANG - Undang-undang sedia ada perlu dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat termasuk penjara maksimum dan sebatan dikenakan terhadap pelaku kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, tindakan tegas tanpa kompromi itu penting susulan kemalangan tragis di Jalan Raya Barat di sini yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

"Kejadian ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperketatkan hukuman sebagai langkah pencegahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Papparaidu menjelaskan, kes seumpama itu bukan lagi terpencil, sebaliknya semakin kerap berlaku sehingga mengorbankan nyawa individu tidak bersalah.

Katanya, pendekatan lebih tegas melalui penguatkuasaan yang ketat perlu dilaksanakan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kematian mangsa yang juga seorang bapa kepada dua anak kecil.

"Lebih menyedihkan apabila kecuaian sebegini meragut nyawa individu yang langsung tidak bersalah," jelas beliau.

Beliau turut menggesa agar bantuan segera disalurkan kepada keluarga mangsa, terutama apabila kehilangan membabitkan ketua keluarga.

"Nyawa rakyat tidak seharusnya menjadi taruhan kepada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak, jalan raya mesti selamat untuk semua," tambah beliau.