Pemandu positif dadah terbabit lagi kemalangan tiga kenderaan di Kuala Pilah 

9 Nov 2026 • 4:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu positif dadah terbabit lagi kemalangan tiga kenderaan di Kuala Pilah 

KUALA PILAH – Pemandu yang sebelum ini terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan didapati positif dadah sekali lagi dikaitkan dengan insiden kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran pekan Tanjong Ipoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, sebuah Toyota Vios dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Nissan Grand Livina yang sedang bergerak dari arah Seremban menghala ke Bahau.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, impak pelanggaran menyebabkan Nissan Grand Livina berkenaan menggelongsor ke hadapan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Proton Wira.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap pemandu Toyota Vios itu menemukan bahan disyaki dadah jenis cecair MDMA dan Erimin 5, menyebabkan lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan semua pemandu yang terlibat, namun ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan akibat kemalangan tersebut.

“Pemandu Toyota Vios itu telah dituduh di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 28 Oktober lalu atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Muhamad Mustafah, kes kemalangan terbaharu itu disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu positif dadah terbabit lagi kemalangan tiga kenderaan di Kuala Pilah  appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved