Sebelum ini tular satu video di mesia sosial memaparkan tindakan pemandu Proton Wira yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Nilai sehingga menyebabkan sebuah Perodua Axia terbabas ke dalam parit.
Susulan itu, polis kemudiannya mengesan pemandu Proton Wira berkenaan untuk membantu siasatan lanjut berhubung insiden itu.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis Kesan Pemandu Proton Wira Tular Memandu Secara Berbahaya & Punca Axia Terbabas Masuk Parit [Video]
Pemandu Proton Wira direman 2 hari
Terbaharu Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya memaklumkan pemandu Proton Wira berkenaan ditahan reman selama dua hari.
Jelas beliau, pemandu yang berusia 35 tahun itu telah ditahan di Selangor sekitar jam 12.30 tengah malam, semalam (20 September).
Pemandu Proton Wira ditahan di kediamannya di Puchong pada 20 September
“Susulan kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan Perodua Axia yang berlaku pagi Ahad dan video kejadiannya tular di media sosial, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai menjalankan siasatan dan memburu suspek yang terbabit.
“Pihak kami berjaya mengesan pemandu Proton Wira dan menahannya di rumahnya di Puchong, Selangor tengah malam tadi (20 September) sebelum dibawa ke BSPTD Nilai untuk tindakan lanjut,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Tiada rekod jenayah, lesen masih aktif namun road tax dan insurans dah tamat tempoh, Proton Wira dipandu bukan milik pemandu
Jelas beliau lagi, semakan rekod yang dilakukan mendapati pemandu Proton Wira yang bekerja sebagai penghantar barang berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Lesen memandunya juga masih aktif, namun cukai dan perlindungan insurans kenderaan yang digunakan didapati sudah tamat tempoh pada Mei lalu. Bagaimanapun suspek bukan pemilik kenderaan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi ini (21 September) untuk direman bagi siasatan lanjut dan permohonan dibenarkan selama dua hari bermula hari ini (21 September).”


![[VIDEO] Proton Wira dipandu laju sebelum langgar Perodua Axia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/f386e832-e65b-4859-8fbb-01f2188d9e60-1024x682.jpeg)
![Polis Kesan Pemandu Proton Wira Tular Memandu Secara Berbahaya & Punca Axia Terbabas Masuk Parit [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/Perodua-Axia-kena-langgar-di-PLUS.jpg?t=1789981949)