Pemandu sengaja langgar orang dipenjara 13 tahun

20 Jan 2023 • 4:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang menyebabkan kecederaan parah kepada lelaki lain dengan memecut keretanya dan melanggar lelaki itu, dipenjara 13 tahun dan dikenakan tiga kali sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Wan Han Lin yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.

Wan secara sengaja menyebabkan kecederaan kepada Kong Chi Siong, 38, dengan memandu keretanya dan melanggar Kong pada 12.30 tengah hari 6 Nov 2022 di hadapan Kedai Alteccom 2, Grand Millenium di Penampang.

Kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Wan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jan tahun ini.

Dalam rayuannya, Wan yang tidak diwakili memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab ia merupakan kesalahan serius kerana tindakan Wan itu berbahaya dan boleh memudaratkan mangsa di samping boleh menyebabkan kematiannya.

Siti memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan laporan perubatan, mangsa mengalami retakan tengkorak kanan dengan pendarahan otak, tulang tibia dan fibula kaki kiri patah, bahu kanan koyak dan pelbagai luka melecet.

Mahkamah mendengar bahawa pada hari tersebut Wan pergi ke kedai Kong untuk membeli kupon tambah nilai.

Wan kemudian memberitahu Kong bahawa dia ingin mengambil telefon bimbitnya dari keretanya dan Kong mengikutnya ke kereta.

Sebaik tiba di kereta, Wan berundur dan kemudian memecut kereta itu tetapi Kong cuba menghalangnya. Bagaimanapun, Wan memandu keretanya dan melanggar Kong yang kemudiannya terjatuh di atas jalan.

Kong segera dikejarkan ke hospital dan mengalami keretakan tengkorak dan tulang kaki kiri serta kecederaan di bibir.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh abang Kong, Wan ditahan pada 11 Jan tahun ini di sebuah rumah di Jalan Long Tuma Kg Long Tuma, Lawas di Sarawak.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.