Pemandu Tampal Makanan Ringan & Pelitup Muka Percuma Pada Trak Pikap, Sesiapa Nak Boleh Ambil

Entertainment
25 Sep 2022 • 10:38 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Walaupun setiap hari kita ‘dihidangkan’ dengan berita-berita negatif seperti kejahatan manusia yang menipu atau membunuh orang lain, namun jangan takut sebab masih ada juga individu yang baik hati.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pemandu trak pikap di Chiang Rai, Thailand ini apabila dia menampal makanan ringan dan pelitup muka pada luar kenderaannya beserta nota yang tertulis ‘Boleh ambil secara percuma’.

Menurut portal The Thaiger, tindakan mulia oleh pemandu trak itu sempat dirakamkan oleh seorang warganet yang kemudiannya telah memuat naik video berkenaan di platform TikTok menerusi akaun wetchayany.

Difahamkan, individu tersebut sempat merakam trak pikap yang berwarna putih tersebut ketika ternampaknya di kawasan lampu isyarat jalan raya.

Dapat dilihat dalam video berkenaan bahawa sekeliling trak pikap itu dipenuhi dengan makanan ringan dan pelitup muka yang ditampal pada luaran kenderaan itu.

image is not available

Ketika trak pikap itu berhenti di kawasan lampu isyarat tersebut, dua orang remaja lelaki turut turun dari motosikal mereka untuk mengambil beberapa plastik makanan ringan sebelum mengucapkan terima kasih kepada pemandu kenderaan itu.

Rata-rata warganet Thailand juga memuji idea dan kebaikan hati pemandu tersebut kerana ia boleh menggembirakan hati orang yang menerimanya.

image is not available

Ada juga yang mahu tahu jenama gam yang digunakan untuk menampal barang-barang tersebut pada kenderaan itu sebab mesti lah gam yang digunakan sangat kuat kerana makanan ringan itu tak tercabut walaupun ditiup angin ketika trak bergerak.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.