Pemandu Teksi Da Nang Tampil Bersuara, Dakwa Pelancong Tidak Pernah Bayar Tambang Seperti Didakwa

Travel
7 Aug 2026 • 7:41 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Pemandu Teksi Da Nang Tampil Bersuara, Dakwa Pelancong Tidak Pernah Bayar Tambang Seperti Didakwa

DA NANG – Isu tular membabitkan seorang pelancong dan pemandu teksi di Da Nang, Vietnam kini memasuki episod baharu apabila pemandu berkenaan tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Menerusi satu hantaran di akaun Threads @visit_danang_vietnam, pemandu tersebut menafikan dakwaan bahawa pelancong itu telah membuat pemindahan wang sebanyak 200,000 dong Vietnam kepadanya.

Menurutnya, tambang perjalanan itu hanya sekitar 30,000 dong, namun beliau mendakwa pelancong itu tidak pernah membuat sebarang pemindahan wang kepadanya, sekali gus menyebabkan beliau tidak menerima sebarang bayaran bagi perjalanan tersebut.

“Saya ingin jelaskan, saya tidak menerima walau satu dong daripadanya. Dia tidak pernah memindahkan apa-apa kepada saya,” katanya.

Dakwa Berlaku Salah Faham

Pemandu itu turut menepis dakwaan kononnya beliau meminta tip daripada pelancong tersebut.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa ketika tiba di destinasi, beliau hanya menyebut perkataan “money” sebagai isyarat meminta bayaran tambang kerana penguasaan bahasa Inggerisnya agak terhad.

Menurutnya, selepas pelancong itu mengatakan tidak mempunyai wang, beliau hanya terdiam seketika sebelum memilih untuk melepaskan perkara tersebut memandangkan jumlah tambang itu tidak besar.

Beliau berkata, selepas pulang ke rumah, rakaman kamera dalam kenderaan (dashcam) itu disunting dan dimuat naik ke media sosial tanpa menyangka ia akan menjadi tular sehingga mendapat perhatian masyarakat di pelbagai negara.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut merupakan penjelasan daripada pihak pemandu teksi sahaja. Setakat ini, belum ada pengesahan bebas atau kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan bahawa wang tersebut benar-benar tidak pernah dipindahkan. – The Malaysian Update

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved