Pemandu Terbabit Nahas Genting Highland Miliki 11 Rekod Saman

17 Apr 2023 • 4:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun. - Gambar tangkap layar Facebook

BENTONG - Pemandu kereta yang terbabit dalam nahas di Jalan Genting Highlands semalam disahkan memiliki 11 rekod saman. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, video nahas di KM14.6 Jalan Genting Highlands itu tular di media sosial, selepas dimuat naik di Facebook oleh individu yang menggunakan nama Joekim Mako.

Menurut beliau, ia melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.

“Siasatan dibuat berdasarkan rakaman video yang tular dan pemandu berkenaan didapati kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan dari Serdang, Selangor  menuju ke Genting Highlands.

“Apabila sampai di selekoh, pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain, lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan,” katanya hari ini.

Pemandu tersebut bagaimanapun jelas Zaiham, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Pemandu terbabit telah dipanggil oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPTD) Bentong untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Getaran, 17 April 2023