
BOGOTA – Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk dua kanak-kanak maut, manakala 20 lagi dikejarkan ke hospital selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik di wilayah Huila, Colombia kelmarin, lapor saluran berita The Sun UK.
Nahas di Laluan 45 itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu bas berusia 26 tahun berkenaan yang didakwa terlelap ketika memandu.
Menurut pihak berkuasa jalan raya, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Florencia di Caqueta menuju ke ibu negara, Bogota sebelum hilang kawalan di kilometer 94.5 dan terbalik di atas lebuh raya.
Pasukan kecemasan yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa yang terselamat sebelum menghantar kesemua 20 mangsa yang cedera ke beberapa hospital di sekitar wilayah Neiva untuk rawatan lanjut.
“Menurut maklumat awal, kenderaan itu sedang bergerak dari arah selatan ke utara apabila pemandu tiba-tiba hilang kawalan setibanya di kilometer 94.5,” kata pihak berkuasa jalan raya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum disahkan secara rasmi, namun pihak polis kini giat menjalankan siasatan termasuk meneliti kemungkinan pemandu terlelap.
Untuk rekod, Colombia mencatatkan sebanyak 4,751 kematian akibat kemalangan jalan raya antara Januari hingga Jun 2026, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pada November tahun lalu, negara itu turut digemparkan dengan insiden sebuah lori seberat 17 tan yang mengalami kegagalan brek merempuh 12 buah kereta dan menghimpit sebuah bas sehingga terbabas dari lebuh raya. – AGENSI
The post Pemandu terlelap punca bas terbalik, lapan nyawa terkorban appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Pemandu lori 10 tan tersepit dalam nahas di Persiaran Mokhtar Dahari](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-19-at-5.50.21-PM.jpeg)