![Image from: [VIDEO] Pemandu lori 10 tan tersepit dalam nahas di Persiaran Mokhtar Dahari](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-19-at-5.50.21-PM.jpeg)
SHAH ALAM – Seorang pemandu lori terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Pulau Lumut, di sini hari ini.
Mangsa berusia 40 tahun cedera ringan di kaki dan tangan selepas tersepit dalam lori 10 tan dipandunya.
Kejadian itu turut tular di media sosial dan dikatakan berlaku berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari yang merekodkan dua kemalangan pada bulan ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.03 petang sebelum tiba di lokasi 11 minit kemudian.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Bukit Jelutong terlibat dalam operasi menyelamat.
“Seorang lelaki ditemukan terperangkap dan tersepit dalam lori yang terbabas dan terbalik.
“Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum berjaya menyelamatkannya pada pukul 4.40 petang,” katanya hari ini.
Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Pemandu lori 10 tan tersepit dalam nahas di Persiaran Mokhtar Dahari appeared first on Kosmo Online.






