
RANAU: Seorang pemandu tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ranau–Kundasang berhampiran Kampung Pinausuk pada pagi Isnin.
Bagaimanapun pemandu berkenaan berjaya diselamatkan pasukan bomba yang hadir sejurus dihubungi mengenai kemalangan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu melalui talian kecemasan 999 kira-kira jam 7.25 pagi sebelum anggota bomba bertugas digerakkan ke lokasi kemalangan.
“Dua jentera bersama enam anggota yang diketuai Komander Operasi Andrey Damianus telah dikerahkan sebelum tiba di lokasi pada jam 7.41 pagi.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu Proton Saga FLX, Isuzu D-Max Single Cab dan Perodua Myvi.
“Pemeriksaan awal mendapati pemandu Proton Saga tersepit di dalam kenderaan akibat impak kemalangan,” katanya.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepi dibahagian kaki dalam kenderaan tersebut.
Dalam kejadian sama seorang penumpang Perodua Myvi dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu Isuzu D-Max hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal di lokasi.
Mengulas lanjut Rantey menyatakan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.





