Pemandu treler maut dalam kemalangan enam kenderaan

23 Jun 2026 • 6:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu treler maut dalam kemalangan enam kenderaan
Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 31.9 Lebuhraya PLUS arah selatan selepas kawasan R&R Kulai pada Selasa. - FOTO: Bomba Johor
Image from: Pemandu treler maut dalam kemalangan enam kenderaan
Operasi pemadaman melibatkan 10 anggota menggunakan sebuah jentera FRT serta sebuah EMRS. FOTO: Bomba Johor

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 31.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai pada Selasa. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Pegawai Bomba Kanan II Khairil Mohd Adzami berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.02 pagi sebelum sebuah jentera dari BBP Kulai bersama bantuan BBP Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, setibanya di lokasi pada 10.03 pagi, didapati kemalangan membabitkan enam kenderaan dengan beberapa buah kenderaan terbakar.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, treler membawa muatan besi pagar, pacuan empat roda Toyota Hilux, van Nissan Vanette, lori 10 tan membawa muatan mozek dan lori bonded satu tan.

"Pemandu treler, iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kematiannya disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

**media[3560133]**

Beliau berkata, empat mangsa lain membabitkan pemandu Toyota Hilux berusia 29 tahun, dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun yang berada di dalam van serta seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori bonded satu tan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun, maklumat mengenai pemandu lori kontena dan lori 10 tan tidak dapat diperoleh kerana mereka tiada di lokasi ketika operasi dijalankan," katanya.

Dalam kejadian itu, Khairil berkata, Toyota Hilux terbakar kira-kira 90 peratus, manakala van Nissan Vanette turut mengalami kemusnahan sama.

"Dua lagi kenderaan, iaitu treler yang membawa muatan besi pagar terbakar kira-kira 80 peratus sementara lori 10 tan serta lori bonded satu tan masing-masing terbakar 60 peratus dan tidak mengalami kerosakan besar,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 10 anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan setakat petang ini, operasi masih diteruskan bagi memastikan kawasan kejadian dalam keadaan selamat. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved