Pemandu treler maut elak langgar kereta terbabas

29 Aug 2022 • 6:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dari treler terbalik di lebuh raya dekat Tanjung Malim. Foto: Ihsan bomba

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut selepas treler bermuatan mikrocip elektronik yang dipandunya terbabas di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 2.50 petang itu, mangsa, L Pakiyasamy, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa cuba mengelak sebuah kereta yang terbabas di bahu kiri jalan.

"Keadaan itu menyebabkan treler berkenaan hilang kawalan lalu terbabas sebelah kiri sebelum masuk ke tebing," katanya.

Menurut Mohd Hasni, mangsa yang disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.