![Image from: Pemandu Triton Pandu Melulu & Berbahaya Sudah Ditahan Reman, Rupanya Positif Dadah [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Pemandu-Mitsubishi-Triton-Pandu-Melulu-Berbahaya-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (8 Jun), tular di media sosial sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren dipandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna lain.
Menerusi video tular, dapat dilihat Mitsubishi Triton berkenaan dipandu secara mengundur malah turut melanggar beberapa kenderaan lain sebelum ia dihentikan oleh orang awam.
Pemandu Mitsubishi Triton Telah Ditahan Polis
Ekoran itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan selepas dia dipercayai memandu secara melulu serta berbahaya dengan melanggar beberapa kenderaan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.05 pagi semalam, suspek yang berusia 29 tahun dan memandu Mitsubishi Triton itu dipercayai bertindak agresif sebelum ditahan oleh orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhampiran sebuah stesen minyak.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jelas Nik Aminuddin, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari Sungai Dua menuju ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan sepanjang laluan terbabit.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya BKE berhadapan sebuah stesen minyak di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi,” katanya.
Pemandu Positif Dadah & Ada 15 Rekod Kesalahan Jenayah
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek turut menemui sebuah beg silang yang disandang pada badan.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat anggaran 0.75 gram serta satu lagi peket plastik lutsinar mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat anggaran 2.38 gram,” jelasnya.
Malah, Nik Aminuddin turut mendedahkan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah,” katanya.
Tambahnya lagi, kes kini disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada hari ini untuk permohonan reman.
Polis Kesan Mangsa Terlibat & Saksi Kejadian Untuk Bantu Siasatan
Pada masa yang sama, Nik Aminuddin menjelaskan siasatan berkaitan kemalangan jalan raya juga sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Jelasnya lagi, polis kini sedang mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor K Vignesh di talian 011-14572390 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Terima kasih kepada orang awam yang membantu menahan suspek sehingga tindakan lanjut dapat diambil dengan segera. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Pemandu Mitsubishi Triton Direman 4 Hari
Terbaharu, pemandu Mitsubishi Triton oren berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Jun depan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Bukit Mertajam, Savinder Singh Jugindar Singh bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Cadang Pinda Akta 333, Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Pemandu Positif Dadah
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Bas Tular Pandu Sebelah Tangan Positif Dadah & Direman 4 Hari





