Pemandu van jenazah lumpuh beri khidmat percuma kepada masyarakat

31 Aug 2026 • 12:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu van jenazah lumpuh beri khidmat percuma kepada masyarakat
Md Shahrul Nizam memasang besi yang direka khas untuk membantu memudahkan beliau menekan pedal minyak dan brake kenderaan menggunakan tangan ekoran kedua-dua belah kakinya lumpuh akibat kemalangan di tempat kerja pada 2016 ketika ditemui Bernama di Kampung Gaung. Foto Bernama
Image from: Pemandu van jenazah lumpuh beri khidmat percuma kepada masyarakat
Md Shahrul Nizam (kanan) terpaksa dibantu untuk masuk ke dalam van jenazah yang dipandunya kerana lumpuh paras pinggang yang dialaminya sejak 2016 akibat kemalangan di tempat kerja ketika ditemui Bernama di Kampung Gaung. Foto Bernama

JERTIH - Lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terbabit kemalangan di tempat kerja sembilan tahun lepas tidak menghalang Md Shahrul Nizam Md Kamil, 36, untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan menjadi pemandu van jenazah merentasi Semenanjung Malaysia.

Md Shahrul Nizam yang menetap di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, Kuala Nerus, mengalami patah tulang belakang dan retak tulang pinggul selepas dihempap besi seberat lebih 100 kilogram ketika membaiki enjin lori di sebuah bengkel dalam kejadian pada 7 Mac 2016.

Dia mula berkhidmat sebagai sukarelawan pemandu van jenazah yang memberikan perkhidmatan percuma kepada masyarakat pada 2022 selepas membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) SsangYong Stavic milik arwah bapa mentuanya.

Pada awalnya perasaan takut menyelubungi diri dan isterinya, namun perasaan itu hilang apabila menganggap setiap jenazah yang dibawa seperti ahli keluarganya sendiri.

"Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kerana matlamat saya adalah melakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Gaung, di sini baru-baru ini.

**media[3631866]**

Kenderaan transmisi automatik yang dipandunya diubah suai pada bahagian pedal minyak dan brek menggunakan besi bagi membolehkannya dia menekan pedal berkenaan menggunakan tangan.

Dalam melaksanakan tugas, dia banyak bergantung kepada sokongan isterinya, Nor Lishah Anita Abdul Hamid, 36, yang sentiasa menemaninya ketika membawa van jenazah.

"Kalau isteri tidak membantu, sukar untuk saya bergerak terutama ketika hendak masuk dan keluar dari van,” katanya.

Ketika memandu, dia terpaksa menggunakan tiub serta membawa beg air kencing yang disangkut pada pinggang kerana mengalami kesukaran untuk keluar dan masuk kenderaan sekiranya hendak membuang air kecil.

Md Shahrul Nizam berkata, dia kini bernaung di bawah Pertubuhan Amal Komuniti Besut (PAKB) Cawangan Kuala Nerus dan kini menggunakan kenderaan jenis Naza Ria dan SsangYong.

Antara destinasi paling jauh pernah ditujunya, termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Dalam pada itu, dia berkata, antara pengalaman yang sukar dilupakan ialah ketika van dipandunya mengalami kerosakan di Jalan Timur-Barat, Gerik, Perak, ketika beliau bersama isteri dalam perjalanan mengambil jenazah di Hospital Gerik, manakala kawasan berkenaan pula tidak mempunyai liputan telefon dan internet.

Beliau turut berdepan kejadian van rosak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika membawa jenazah, selain perjalanan mengambil jenazah di Negeri Sembilan yang memerlukannya memandu hampir 24 jam.

"Pengalaman menguruskan pelbagai jenazah termasuk mangsa Covid-19 pula menjadikannya lebih menghargai kehidupan serta menguatkan tekad untuk terus membantu masyarakat.

"Walaupun saya tidak boleh berjalan, saya masih boleh membantu orang lain. Selagi masih diberi kemampuan untuk memandu dan ada yang memerlukan khidmat ini, saya akan teruskan walaupun masih terasa sakit pada bahagian pinggang hingga ke bawah,” katanya yang masih belum dikurniakan cahaya mata. - Bernama

 

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved