
JAKARTA – Seorang wanita dikenali sebagai ENR, 32, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander dalam keadaan mabuk telah merempuh sebuah teksi elektrik serta trak pikap di Jalan Gubernur Suryo dan Jalan Taman Hapsari, Kota Surabaya, lapor halaman berita kumparan.
Menurut ketua polis trafik tempatan, AKBP Galih Bayu Raditya, ujian urin mengesahkan wanita berkenaan bebas dadah, namun memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Dia ditetapkan sebagai suspek. Hasil ujian urin mendapati suspek negatif dadah, namun punca utama kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu yang hilang tumpuan akibat memandu dalam keadaan mabuk,” katanya kepada media semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.30 pagi (waktu tempatan) kelmarin, kenderaan yang dipandu suspek bergerak dari arah selatan ke utara sebelum hilang kawalan ketika membelok ke kiri dan merempuh sebuah teksi elektrik VinFast yang diletakkan di bahu jalan.
Tidak berhenti di situ, suspek meneruskan perjalanan menuju ke arah Jalan Gubernur Suryo.
Setibanya di bersebelahan Alun-Alun Surabaya, kenderaan suspek merempuh seorang lelaki dikenali sebagai RPK yang ketika itu sedang memuatkan barangan ke dalam trak pikap Mitsubishi L300 miliknya.
Mangsa yang mengalami cedera parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan. – AGENSI
The post Pemandu wanita mabuk rempuh teksi, pikap appeared first on Kosmo Digital.

