
BENTONG – Dua individu cedera selepas kenderaan trak pikap dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Chamang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu melibatkan lelaki berusia 62 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.
“Kedua-dua mangsa merupakan warganegara tempatan dan mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi menyelamat dan tindakan selanjutnya dijalankan sebaik pihak polis dan agensi penyelamat tiba di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri atau berada di kawasan yang mempunyai pokok tumbang atau pokok yang kelihatan berisiko bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kejadian pokok tumbang atau pokok yang kelihatan berbahaya kepada pihak berkuasa atau agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua cedera trak pikap dihempap pokok di Bentong appeared first on Kosmo Digital.






