Sejak subsidi minyak diesel diselaraskan, ramai warga tempatan merasakan yang mana harga petrol juga bakal diselaraskan sejajar dengan cadangan kerajaan untuk menyalurkan belanjawan negara kepada perbelanjaan lain. Ini sekaligus mengundang kerisauan pengguna akan harga petrol yang bakal melonjak naik kelak.

Mungkin anda rasakan kenderaan elektrik adalah jawapan untuk perubahan penggunaan tenaga. Berbeza dengan Honda, agenda Hibrid mereka masih gagah dan mereka telahpun mengumumkan Honda City Hatchback tahun ini yang membawakan 5 variasi, dengan salah satunya adalah versi RS e:HEV.

RS e:HEV – Apa Beza Dengan Versi Yang Lain ?
Bagi membezakan Honda City Hatchback RS e:HEV dengan yang lain, ia boleh jelas kelihatan pada logo Honda di hadapan dan belakang yang mempunyai sedikit sentuhan warna biru. Warna biru ini konsisten digunakan dari siri Hybrid Honda yang terdahulu, bermula dari Honda Insight.
Namun pengguna juga mempunyai pilihan untuk menaiktaraf kepada Kit Modulo RS Premium, dimana ia akan menampilkan logo Honda hitam sepenuhnya tanpa sebarang kemasan krom. Malah kit Modulo turut menampakkan sisi garang City Hatchback, dari segi kemasan bahagian tepi, dan juga bumbung belakang yang lebih agresif.


Versi RS pula akan jelas tertera dengan lencana RS di hadapan, dan lencana RS e:HEV di bahagian belakang. Memandangkan versi RS adalah pilihan tertinggi dalam Honda City Hatchback, antara perkara lain yang berbeza termasuklah tuil parkir elektrik, sokongan Apple CarPlay atau Android Auto secara nirwayar, paparan kluster meter 7-inci, dan juga pedal pemijak yang lebih bergaya.


Salah satu kelebihan Honda berbanding yang lain, yang saya sentiasa ingat sewaktu meneliti brosur Honda CRZ Hybrid sekitar 10 tahun lalu adalah tempat duduknya yang boleh disesuaikan dengan pelbagai kegunaan. Dipanggil Honda Ultra Seat, tempat duduknya mempunyai 4 mod lipatan tempat duduk, membolehkan pelbagai barangan dibawa bersama.
Mod Tall dan juga Mod Long boleh dikatakan antara mod yang membuktikan kereta kecil pun masih boleh membawa pelbagai barangan bersama. Untuk penumpang belakang, keselesaan masih dititikberatkan dengan adanya saluran penyaman udara terus kearah penumpang belakang dan juga palam pengecasan USB-A.




Pemanduan Hibrid HEV Yang Menjimatkan Petrol
Honda City Hatchback RS e:HEV merupakan Honda City Hatchback yang dilengkapi dengan sistem hibrid yang diberikan nama Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), di mana terdapatnya bateri yang akan memberikan kuasa pecutan dan juga akan membantu pemanduan yang dipacu enjin petrol, bergantung kepada tahap pemanduan. Sewaktu memulakan perjalanan, kuasa bateri akan digunakan sehinggalah kepada kelajuan tinggi di mana kuasa petrol akan digunakan seiring kuasa elektrik.

Saya berkongsi kereta ini dengan 2 rakan media dan berkesempatan memandu di kawasan selekoh sekitar Ulu Yam sehingga Tanjung Malim, di mana jalan yang dilalui sedikit berliku dan memerlukan pecutan. Di sini saya dapat merasakan perbezaan antara EV dan juga HEV. Jika anda memandu EV, anda pastinya dapat merasakan pecutan pantas yang hampir dapat dicapai dalam masa beberapa saat, akan tetapi untuk HEV, ia mempunyai sifat yang agak berlainan.
Bagi sistem pemanduan HEV, perlu diingatkan ia adalah enjin hibrid di mana kombinasi petrol dan elektrik bagi menghasilkan pecutan. Saya mendapati apabila saya menekan pedal secara maksimum, pecutan maksimum dapat dicapai dalam tempoh melebihi 5 saat, dan saya dapat rasa enjin ‘mengaum’. Menurut spesifikasi, kadar kelajuan 0-100 km/j dapat dicapai sepantas 9.7 saat, dan saya rasa ini merupakan satu perbezaan sifat yang perlu saya biasakan kerana kerap mengulas EV.


Seperkara lagi yang saya perlu biasakan adalah tuil pengubah pembrekan janaan semula. Menggunakan tuil ini, pemandu boleh menetapkan tahap janaan semula, sama seperti tuil yang ada pada Mercedes EQB 350 dan juga Hyundai IONIQ namun pengalaman penggunaannya jauh berbeza kerana ia tahap yang dipilih, akan ditetapkan semula setiap kali kenderaan dipandu pada kelajuan berbeza.
Ia mempunyai tiga tahap pembrekan janaan semula, di mana sekiranya pemandu berada dalam kelajuan melebihi 60 km/j, pemandu hanya boleh menetapkan pembrekan janaan semula sehingga tahap 2. Hanya apabila kenderaan bertambah perlahan, atau kenderaan berada dalam kelajuan kurang dari 60 km/j, pemandu boleh memilih pembrekan janaan semula pada tahap 3 yang boleh memberikan rintangan pergerakan yang lebih, dan menjana lebih banyak tenaga.

Perkara ini juga sedikit sebanyak membuat pengalaman pemanduan e:HEV ini berbeza berbanding EV biasa, namun saya difahamkan saya dapat merasai pemanduan dengan pembrekan janaan semula yang lebih aktif, menghampiri sifat sebuah EV jika memilih gear ‘B’. Saya tidak dapat mencuba mod pemanduan tersebut namun terdapat rakan media lain yang mencuba mod tersebut sewaktu pulang, dan berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga.
Satu perkara utama yang saya dapati ialah kecekapan penggunaan tenaga oleh Honda City Hatchback ini berkat dari enjin e:HEV. Honda menyatakan yang ia boleh mencapai penggunaan tenaga 3.7 Liter /100 km, atau dalam kiraan lain 27km/L. Ini merupakan angka yang jauh efisien jika dibandingkan dengan EV, dan untuk saya sendiri telah mendapat angka 22 km/L untuk pemanduan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, dan pulang ke Kuala Lumpur dengan 4 bar minyak telah digunakan.

Terdapat kereta rakan media yang lain yang berjaya mendapat penggunaan 27 km/L yang dinyatakan, sekaligus membuktikan kecekapan enjin I-MMD yang mempunyai tenaga maksimum Enjin 98 PS / Motor 109PS serta tork Enjin 127Nm / Motor 253 Nm.

Dalam perjalanan pulang melalui lebuhraya, rakan media yang lain dapat memecut dengan begitu pantas dan hampir tidak sedar telah melebihi had laju kerana bunyi enjin yang sangat minima. Malah terdapat juga paparan interaktif yang menunjukkan bateri sedang digunakan pada kelajuan sekitar 80 km/j, dan juga bateri sedang dicaj semula sekitar 90 km/j.

Secara ringkasnya menerusi pemanduan singkat ini boleh saya simpulkan yang mana jika anda berhasrat untuk membeli e:HEV, anda bakal menikmati penjimatan petrol yang tinggi, meskipun tertakluk kepada gaya pemanduan anda. Kami yang memandu sedikit agresif hanya menggunakan sekitar 4 bar untuk perjalanan sejauh 433 km, dan masih mempunyai baki 6 bar. Mungkin jika kami memandu dengan gaya pemanduan sama, kami dapat mencapai 900km untuk sekali pengisian.
Dan pada kadar penggunaan sebegini, ia boleh dikatakan jauh lebih efisien dari kereta elektrik, meskipun mempunyai bateri dan motor elektrik. Namun e:HEV tidak mempunyai sifat pecutan sepantas EV jadi mungkin itu salah satu perkara yang perlu dibiasakan dan mungkin anda dapat alaminya sendiri sewaktu sesi pandu uji.

Honda City Hatchback ditawarkan bermula harga RM 85,000 dan untuk pilihan RS e:HEV ini ia dijual pada harga 112,900 tidak termasuk pilihan kit Modulo. Pada harga tersebut, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan 8 tahun tanpa jarak pemanduan untuk bateri lithium-ion.


