Pemasangan Aplikasi Android Secara Muat Sisi Akan Memerlukan Masa Menunggu 24 Jam

LocalTechnology
20 Mar 2026 • 10:11 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Pemasangan aplikasi secara muat sisi (sideloading) ialah antara sebab mengapa Android menjadi pilihan pengguna yang inginkan kebebasan. Tetapi tahun lalu Google mengumumkan perancangan membenarkan sideloading kerana ia adalah antara penyebab berlakunya penipuan atas talian kerana pengguna ditipu untuk memasang perisian hasad. Selepas menerima reaksi negatif daripada majoriti pengguna Android, Google mengemaskini bagaimana sideloading akan dibenarkan selepas ini.

Protokol Advanced Flow membenarkan aplikasi dipasang secara sideloading dengan sistem pengesahan dimatikan. Developer Mode perlu diaktifkan terlebih dahulu. Kemudian Android akan bertanya sama ada mereka telah diajar untuk mematikan sistem pengesahan oleh pihak ketiga. Jika disahkan tiada, peranti perlu dihidupkan semula bagi menamatkan panggilan telefon (jika pengguna menerima panggilan telefon oleh sindiket penipuan) dan menghentikan sistem pemantauan peranti (jika kerentanan sistem digunakan penipu).

image is not available

Selepas dihidupkan semula, masa menanti selama 24 jam akan dikenakan sebelum sideloading boleh dilakukan dengan membenarkan pemasangan aplikasi yang tidak disahkan seperti sistem yang digunakan sekarang.

Menurut Google, waktu menanti ini membolehkan pengguna berfikir sama ada mereka sebenarnya sasaran sindiket penipuan ataupun tidak dan membuatkan penipu menanti sehari sebelum boleh melakukan aktiviti keji. Pengguna boleh menetapkan untuk membenarkan sideloading dilakukan selama 7 hari sahaja atau dibenarkan sepanjang masa selepas Advanced Flow diaktifkan.

Langkah keselamatan ini terpaksa dilakukan kerana meningkatkan kes pengguna khususnya warga emas kehilangan wang kerana aplikasi hasad dipasang secara sideloading. Ada yang melihat ini adalah tindakan yang melampau oleh Google tetapi hakikatnya kes seperti ini kerap berlaku di Malaysia sehingga sistem keselamatan sekunder diperkenalkan oleh pengeluar seperti Samsung.