
KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.
Beliau berkata, projek itu yang dilaksanakan sejak Ogos lalu membabitkan peruntukan berjumlah RM3 juta, bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama selain membendung insiden tidak diingini termasuk kes buli.
“Pemasangan ini melibatkan sekolah-sekolah berasrama yang telah dikenal pasti berisiko tinggi termasuk yang mempunyai rekod kejadian buli dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Persaraan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025, hari ini.
Wan Hashim berkata pemasangan CCTV itu dilihat mampu membantu siasatan secara lebih menyeluruh kerana sebelum ini, banyak kes yang berlaku di kawasan sekolah dan asrama sukar dibuktikan.
Menurutnya, penentuan jumlah dan lokasi pemasangan CCTV di setiap sekolah adalah mengikut keperluan dengan kerjasama pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan PDRM bagi mengelakkan sebarang pelanggaran privasi khususnya melibatkan pelajar serta guru.
“Setiap sekolah berbeza... jadi, ia dibuat mengikut kesesuaian sekolah berkenaan dan mungkin ada yang perlukan lapan unit kamera atau 10 unit, ikut kesesuaian…kita akan rujuk nasihat daripada CGSO untuk tentukan pasang (CCTV) dari segi sudut yang sesuai,” katanya. - 15 Oktober, 2025
The post Pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama dijangka siap sepenuhnya November ini: KPM appeared first on Scoop.


