Rempuh MPV, Ibu Kenang Detik Terakhir Anak – “Hari Ini Dia Minta Sarapan”

LocalFamily & Parenting
14 Oct 2025 • 4:57 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

“Arwah biasanya tidak makan pagi, tetapi hari ini dia minta untuk bersarapan sebelum ke sekolah,”

Kata Nor Aziera Hashima Mohd Saleh, 33, ibu kepada Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli, 13, yang maut dalam kemalangan apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Bukit Keluang, Besut pagi tadi.

image is not available

Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, rakan baiknya, Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz, 13, turut terkorban.

Menurut Nor Aziera, pemergian anak sulungnya itu amat mengejutkan dan hanya diketahui selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah.

“Sebelum keluar, arwah sempat bersarapan bijirin dan susu bersama adik bongsunya yang berusia sembilan tahun. Selepas itu mereka sama-sama ke sekolah.

“Arwah baru sahaja mula menunggang motosikal ke sekolah sejak dua bulan lalu untuk memudahkan urusan harian. Pagi tadi dia ada beritahu mahu singgah ke rumah rakannya sebelum ke sekolah,” katanya.

image is not available

Tambahnya, anaknya sangat rapat dengan Nik Aqil kerana mereka tinggal sekampung di Kampung Air Tawar.

“Sebaik dimaklumkan kejadian, saya segera hubungi suami yang sudah keluar bekerja. Ketika itu cikgu hanya beritahu tentang kemalangan yang menimpa anak saya, tanpa menyebut keadaan rakan yang membonceng,” ujarnya.

Sementara itu, ibu kepada Nik Aqil, Farizon Saari, 50, berkata anak bongsunya itu seorang yang manja dan ceria.

“Semalam dia sempat minta untuk tidur bersama saya, tapi saya suruh dia tidur dulu sebab saya sedang menjahit baju. Dia memang suka bercerita tentang sekolah, cikgu dan kawan-kawan,” katanya sebak.

image is not available

Jenazah Wan Mohamad Shahronny akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Seberang Kastam, manakala Nik Aqil akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Demong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua pelajar itu dalam perjalanan ke sekolah pada jam 7.30 pagi.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Sumber: Harian Metro (Nurul Fatihah Sulaini)