
KUALA LUMPUR: Pembangkang memilih untuk memboikot sidang khas Dewan Rakyat mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) selepas permintaan untuk ia ditangguhkan tidak dilayan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sidang khas mengenai RCI TH tetap akan diteruskan hari ini walaupun tidak dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita ada Timbalan Perdana Menteri (TPM) di sini, adakah anda nak downgrade kedudukan TPM? Beliau dan menteri-menteri di sini mewakili Kabinet.
“Kita juga ada dua sesi yang penting iaitu 5 Oktober ini adalah pembentangan Belanjawab 2027, itu boleh digunakan oleh setiap Ahli Yang Berhormat, mintalah apa pun dan dirujuk kepada persidangan hari ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, pembangkang meminta sidang khas Dewan Rakyat mengenai RCI TH ditangguhkan ke satu tarikh yang baharu susulan ketidakhadiran Perdana Menteri atas faktor kesihatan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, beliau sudah menghantar surat ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam dengan antara alasan yang dinyatakan adalah kerana faktor kesihatan kepimpinan utama kerajaan.
Dalam pada itu, Johari menegur tindakan pemimpin kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah tanpa rasa malu.
Beliau berkata, tindakan itu amat memalukan terutama apabila Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai RCI TH ditonton secara siaran langsung oleh rakyat.
“Saya yakin kalau saya pergi ke bawah, minta IC (kad pengenalan) masing-masing, pastinya umur sudah lebih 50 tahun”.
Sebelum ini, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mempertahankan Dewan Rakyat bersidang hari ini walaupun tidak dihadiri oleh Perdana Menteri.
Mohd Sany berkata, kerajaan bekerja secara berkolektif maka rakan-rakan Kabinet yang hadir boleh menjawab persoalan yang dibangkitkan.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ada,” katanya.
Sidang khas menjadi lebih panas dengan apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) turut mencelah.-UTUSAN
The post Pembangkang enggan sertai Sidang Khas RCI TH appeared first on Utusan Malaysia.





