
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan digesa menetapkan formula khusus bagi memastikan penduduk di kawasan perlombongan unsur nadir bumi (REE), khususnya di Subong dan Kampung Batu Papan, Gua Musang, turut menikmati hasil kekayaan sumber mineral berkenaan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, gesaan itu susulan unjuran peningkatan hasil perlombongan negeri sebanyak RM5.9 juta atau 13.88 peratus kepada RM48.41 juta pada 2027.
Katanya, persoalan utama penduduk di kawasan berkenaan adalah sejauh mana mereka akan mendapat manfaat daripada aktiviti perlombongan yang dijalankan di tanah sendiri.
Ujarnya, perkara itu turut dibangkitkan penduduk sekitar Subong, termasuk Kampung Batu Papan, yang tidak mahu kekayaan nadir bumi hanya menjadi hasil kepada pihak tertentu, sedangkan masyarakat setempat tidak menikmati manfaat sewajarnya.
“Pada Mei lalu, kerajaan negeri mengumumkan penerokaan unsur nadir bumi di kawasan seluas 1,416 hektar di Ladang Subong, Gua Musang dengan kerjasama agensi Jepun, Jogmec.
“Rakyat di Subong dan kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Batu Papan bertanya soalan mudah; kalau galian diambil dari tanah kami, apa yang kami dapat?” katanya hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkenaan mencadangkan supaya kerajaan negeri menetapkan formula manfaat setempat sebelum meluluskan mana-mana lesen perlombongan nadir bumi.
Katanya, formula berkenaan perlu merangkumi peratusan royalti untuk pembangunan mukim terlibat, keutamaan peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta pemantauan alam sekitar yang laporannya boleh diakses penduduk.
“Formula itu penting supaya manfaat hasil nadir bumi benar-benar dapat dinikmati rakyat di kawasan yang terlibat secara langsung dengan aktiviti perlombongan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Syahbuddin turut menggesa kerajaan negeri menyokong usaha menjadikan Kota Bharu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO yang diusahakan sekumpulan anak Kelantan menerusi Kota Bharu Gastronomy Core Team sejak tahun lalu.
Katanya, pasukan yang terdiri daripada pakar warisan, penggiat dan pengusaha makanan itu sudah menyiapkan kertas kerja pencalonan dengan bimbingan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.
“Pencalonan ini dirancang untuk dihantar pada awal tahun depan dengan nasi kerabu, nasi tumpeng, laksam, akok dan Pasar Siti Khadijah menjadi antara warisan yang diperjuangkan.
“Namun, permohonan pencalonan ini mesti dihantar melalui pihak berkuasa tempatan. Difahamkan George Town juga mencalonkan diri dalam bidang dan tahun yang sama. Jika kita lambat, peluang mungkin disambar negeri lain,” katanya.
Beliau mencadangkan kerajaan negeri membuat keputusan rasmi menyokong pencalonan berkenaan dan melantik Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sebagai peneraju.
Selain itu, beliau mencadangkan sebahagian daripada peruntukan RM5.6 juta bagi Program Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Belanjawan Kelantan 2027 digunakan untuk menyiapkan kertas kerja pencalonan berkenaan.- UTUSAN
The post Pembangkang mahu formula manfaat nadir bumi untuk rakyat setempat appeared first on Utusan Malaysia.





