Lombong REE di Kelantan beroperasi tahun depan - Timbalan Menteri Besar

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 2:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lombong REE di Kelantan beroperasi tahun depan - Timbalan Menteri Besar
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kelantan dijangka akan bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, aktiviti berkenaan melibatkan kawasan di Gua Musang.

"Setakat ini dua syarikat tempatan dijangka menerima lesen bagi menjalankan aktiviti perlombongan mineral itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan sesekali membiarkan khazanah REE bernilai RM129.15 bilion di negeri itu dieksport mentah tanpa sebarang nilai tambah.

Sebaliknya, kerajaan negeri menegaskan komitmen penuh untuk meneroka serta membangunkan ekosistem industri pertengahan dan hiliran secara kendiri dalam negara.

Langkah strategik berani itu bertujuan memastikan setiap tan sumber mineral berharga yang ditemui di bumi Kelantan memberikan pulangan ekonomi berganda kepada kerajaan negeri serta rakyat tempatan.

Menurut beliau, dua syarikat tempatan itu akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

"Kita sudah memasuki penyelarasan akhir untuk mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Mohamed Fadzli memberitahu, isu perlombongan REE sering dilihat sebagai isu negeri sedangkan pada peringkat Persekutuan, perkara itu masih belum begitu jelas.

"Setakat ini, kebenaran yang diterima kerajaan Persekutuan hanya untuk tujuan pengujian dan bukannya untuk mengeksport mineral berkenaan. Jika dibawa balik pun, ia tidak boleh dieksport," ujarnya.

Menurut beliau, butiran lanjut mengenai perkembangan perlombongan REE di Kelantan akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.

Jelasnya, keutamaan ketika ini membina keupayaan domestik bagi mengasingkan, memproses dan menghasilkan produk akhir mineral berteknologi tinggi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved