Pembangkang tak agresif?

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketika menjadi pembangkang untuk tempoh yang panjang, PH konsisten dan mampu membentuk persepsi awam secara meluas dengan naratif jelas untuk setiap isu. Foto fail Bernama

KENYATAAN bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melabel pembangkang sebagai paling tidak berguna dan tidak cekap memanfaatkan ‘pentas’ beberapa isu tempatan serta global, mungkin kedengaran keras.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman pula membalas dengan mempertahankan pembangkang masa kini kekal konsisten dengan pendekatan politik matang dan berprinsip tanpa budaya agresif, hasutan atau fitnah.

Dalam konteks politik semasa, pandangan bekas pemimpin UMNO yang sedang menunggu keputusan masuk semula parti itu wajar diberi perhatian kerana ia mungkin antara cerminan persepsi yang wujud dalam kalangan segelintir rakyat terutama generasi muda.

Realiti semasa menunjukkan pendekatan pembangkang kurang menyerlah berbanding corak digunakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketika menjadi pembangkang untuk tempoh yang panjang, PH konsisten dan mampu membentuk persepsi awam secara meluas dengan naratif jelas untuk setiap isu.

Sebagai gabungan terbesar pembangkang, Perikatan Nasional (PN) perlu menilai semula kaedah sedia ada jika berhasrat menandingi PH dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Suara mengkritik tidak lagi memadai kerana rakyat mahu lebih iaitu idea baharu yang segar dan penyelesaian yang meyakinkan.

Tanpa elemen ini, kritikan pembangkang akan dianggap retorik dan tidak mempunyai pemimpin yang berfikiran aras tinggi.

Sebilangan rakyat melihat segelintir pemimpin pembangkang terperangkap dalam peranan sebagai pengkritik sehingga gagal menawarkan bentuk penyelesaian lebih baik daripada kerajaan Madani.

Jika pendekatan ini berterusan, pembangkang berisiko kehilangan keyakinan golongan atas pagar dan pengundi muda terutama berusia 18 tahun.

Dalam sistem demokrasi, keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat untuk menilai sama ada pendekatan tersebut mencukupi atau sebaliknya.

Justeru, kata-kata yang dilontarkan Khairy Jamaluddin boleh dianggap satu dorongan untuk blok pembangkang menjuarai semua isu nasional dan global.