
KUALA LUMPUR – Liputan rangkaian di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai tahun ini, manakala pembangunan rangkaian 5G negara kini menghampiri 90 peratus.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh asas infrastruktur digital negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur digital yang kukuh penting bagi memastikan perkhidmatan serta industri masa depan dapat berkembang, selain membolehkan rakyat dan institusi memanfaatkan teknologi dengan lebih meluas.
“Pembangunan 5G kami yang berterusan telah mencapai hampir 90 peratus di kawasan tersebut,” katanya ketika berucap pada M360 ASEAN di Grand Hyatt Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi kini sedang membangunkan Polisi Infrastruktur Digital Nasional bagi menyediakan perancangan jangka panjang yang lebih koheren dan menyeluruh berhubung pembangunan infrastruktur digital negara.
Katanya, polisi berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang mampu menyokong keperluan perkhidmatan dan industri pada masa hadapan.
Tambah Fahmi, akses kepada rangkaian digital yang lebih meluas dapat membantu meningkatkan penyertaan rakyat dalam ekonomi digital, selain membuka ruang kepada perniagaan dan industri untuk memperluas penggunaan teknologi serta perkhidmatan digital. – KOSMO! ONLINE
The post Pembangunan 5G capai hampir 90 peratus appeared first on Kosmo Online.






