
SERDANG: Industri benih tanaman negara akan diperkukuh menerusi kawal selia, pembangunan kapasiti pengeluar serta sokongan penyelidikan dan pembiakbakaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara selepas hampir 90 peratus keperluan biji benih sayur-sayuran negara masih diimport Ketika ini.
Malah katanya, pada tahun 2021, nilai import benih sayuran adalah sekitar lima juta dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM20.19 juta ) dan meningkat kepada AS$70 juta (RM282.65 juta) pada tahun lalu.
“Keadaan itu boleh mendedahkan sektor tanaman kepada risiko gangguan rantaian bekalan, perubahan geopolitik serta peningkatan kos input pertanian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohamad berkata, kerajaan sedang mengambil pendekatan menyeluruh untuk merapatkan jurang itu dengan membina keupayaan industri biji benih tempatan supaya mampu menghasilkan benih yang berdaya saing, inovatif dan memenuhi keperluan negara.
“Salah satu tonggak utama usaha ini ialah pengukuhan kerangka perundangan, KPKM kini berada pada fasa akhir dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman (RUU KBT) di samping melaksanakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta 634) supaya setara dengan piawaian antarabangsa.
“Kerajaan juga akan terus memperkukuh peranan Majlis Benih Negara (MBN) serta memperluas kerjasama di peringkat serantau melalui ASEAN Seed Council (ASC) dan persatuan industri seperti National Seed Association of Malaysia (NSAM) supaya standard industri tempatan mampu bersaing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN
The post KPKM perkukuh industri benih tanaman negara appeared first on Utusan Malaysia.






