Pembangunan AI wajar jana banyak pekerjaan bernilai tinggi, bukan sekadar bina teknologi – Mohd Shahar

LocalTechnology
12 Nov 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembangunan AI wajar jana banyak pekerjaan bernilai tinggi, bukan sekadar bina teknologi – Mohd Shahar Image from: Pembangunan AI wajar jana banyak pekerjaan bernilai tinggi, bukan sekadar bina teknologi – Mohd Shahar amree12/11/2026 - 14:15 MOHD SHAHAR Abdullah (tengah) menekan butang sebagai gimik perasmian Sidang Kemuncak Konsortium Malaysia 4IR (My4IRC) kali ketiga 2026 di Universiti Malaya-Wales. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov — Pelaburan pembangunan kecerdasan buatan (AI) perlu dijana kepada peningkatan pendapatan rakyat, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pengukuhan perniagaan tempatan, bukan sekadar kemajuan teknologi atau pembangunan infrastruktur digital.

 

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, AI perlu menjadi enjin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan memacu produktiviti, memperkukuh daya saing perniagaan serta menarik banyak pelaburan yang lebih berkualiti.

 

Beliau menambah, pulangan sebenar daripada pelaburan teknologi berkenaan perlu diukur berdasarkan kepada tahap pembangunan bakat tempatan, bilangan penyertaan pembekal domestik dan keupayaan komersial yang masih terus kekal dalam negara secara jangka panjang.

 

"Pendekatan ini selari Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) meningkatkan siling dan lantai ekonomi negara, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara luas," ucap beliau melancarkan Sidang Kemuncak Konsortium Malaysia 4IR (My4IRC) 2026 pada Rabu.

 

Bagi merealisasikan matlamat mandat RMK-13 itu, Mohd Shahar menggariskan sebanyak lima keutamaan, yang bermula dengan memperluaskan literasi AI dalam kalangan masyarakat tempatan serta membangunkan tenaga kerja mempunyai kemahiran digital global semasa.

 

Keutamaan kedua pula ujar beliau, ialah usaha memperkukuh pembangunan bakat AI melalui penghasilan pakar berkemahiran tinggi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja supaya mampu bekerjasama dengan arus teknologi canggih dari seluruh dunia.

 

MY4IR_DagangNews2026

 

Beliau menerusi keutamaan ketiga turut menekankan keperluan membangunkan infrastruktur yang bersedia menyokong AI, termasuk rangkaian komunikasi boleh dipercayai, pusat data (DC), kemudahan pengkomputeran awan serta keselamatan siber yang kukuh.

 

"Keutamaan keempat ialah mempercepat penggunaan AI dalam industri strategik, khususnya dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti," tegas Mohd Shahar.

 

Sementara itu katanya, keutamaan kelima pula ialah memacu perdagangan global berasaskan AI dengan membantu syarikat Malaysia membangunkan harta intelek milik tempatan serta produk berdaya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa.

 

Tambah beliau, kelima-lima keutamaan itu perlu dilaksanakan secara bersepadu kerana pembangunan bakat tanpa permintaan industri serta pelaburan infrastruktur tanpa tenaga kerja mahir tidak akan menghasilkan impak ekonomi yang diharapkan.

 

Mohd Shahar mengingatkan kejayaan Malaysia membangunkan ekonomi berteraskan AI bergantung kepada keupayaan negara menterjemahkan pelaburan teknologi kepada peningkatan keupayaan domestik seiring bagi menghasilkan manfaat secara nyata kepada rakyat.

 

Program sidang kemuncak selama dua hari yang bertemakan 'Driving Supply Chain and Service Excellence Through Innovation and Technology' itu menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai sektor kerajaan, industri, akademik dan teknologi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved