
RANAU: Pelaksanaan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kundasang dijalankan secara menyeluruh dan inklusif tanpa mengira sempadan kampung.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Penyandang kerusi Dun Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan dewan mini, jambatan gantung dan jalan raya sedang dilaksanakan bagi memastikan setiap kawasan mendapat manfaat secara adil.
“Pembangunan dilaksanakan secara seimbang di semua kampung. Saya gembira melihat banyak rumah kini jauh lebih baik berbanding dahulu.
“Tugas kerajaan adalah membantu sedaya upaya dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Mirumo-rumo bersama penduduk di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Dun Kundasang baru-baru ini.


