Pembangunan semula KL Sentral buka peluang MRCB perkukuh hartanah komersial – HLIB
diyana
03/08/2023 - 16:02
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pembangunan semula Stesen KL Sentral merupakan peluang tepat pada masanya untuk Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) memperkukuh hartanah komersialnya di lokasi utama dan strategik, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
“Kami berpendapat bahawa baki 2 hektar tanah pembangunan asal itu merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk memperkembangkan pendedahan komersial MRCB di lokasi utama dan strategik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Memandangkan projek tersebut akan dilaksanakan atas dasar inisiatif kewangan swasta (PFI), garis masa akan menjadi panjang, apabila unit kediaman dan komersial dibangunkan dan dijual, di mana ia akan berlaku sebaik sahaja pembangunan semula stesen selesai.
“Kami mendapati bahawa permintaan adalah kukuh dari segi sejarah, dengan pembangunan kediaman menyaksikan kadar pengambilan melebihi 85%.
“Berdasarkan pengiraan selepas pelupusan Menara CelcomDigi, projek mega berkenaan secara berasingan boleh meningkatkan penggearan bersih daripada 0.27 kali kepada 0.49 kali yang masih boleh diurus,” ujar firma penyelidikan itu.
Namun, jika MRCB melaksanakan projek itu serentak dengan pembangunan semula Stadium Shah Alam (melebihi RM1 bilion), HLIB berkata ini boleh menjadikan penggearan bersih melebihi 0.49 kali, mengikut anggarannya.
HLIB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 34 sen sesaham.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam mengumumkan bahawa Kabinet pada dasarnya telah bersetuju dengan pembangunan semula hab pengangkutan KL Sentral dan tanpa sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, MRCB akan diberi hak untuk membangunkan bangunan komersial dan kediaman.
Pada waktu penulisan, saham MRCB menokok 0.5 sen atau 1.3% kepada 38 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.7 bilion. - DagangNews.com



