Pembantu Kedai Makan Jadi Admin Group Bahan Luc*h Di FB, Mohon Denda Dikurangkan

LocalPolitics
22 Jan 2025 • 5:28 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki berusia 40 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan mengakses pornografi kanak-kanak dikemukakan terhadapnya, sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

Dalam pada itu, mahkamah juga memerintah pembantu kedai makanan dari Muar itu dipenjarakan selama 4 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa kerana mengakses bahan pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak pada 9 malam, 23 Disember lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 5 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis ada menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mengesan ‘admin’ dalam satu ‘group’ Facebook.

image is not available

Dalam ‘group’ tersebut, tertuduh memuat naik gambar dan video lucah kanak-kanak termasuk mereka yang sedang memakai uniform sekolah.

Tertuduh berperanan sebagai ‘admin’ dalam ‘group’ tersebut, dia akan memberi kebenaran kepada mereka yang ingin menyertainya.

Selepas menjadi ahli, mereka boleh memuat naik pelbagai video dan gambar lucah kanak-kanak yang mana hanya boleh diakses kepada mereka terpilih sahaja.

Pada 24 Disember tahun lalu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan SKMM menerusi Ops Pedo menyerbu rumah didiami tertuduh.

image is not available

Pemeriksaan mendapati tertuduh mengakses bahan lucah dan video kanak-kanak selain pernah diberi amaran oleh pihak Facebook hingga digantung tiga bulan.

Dalam serbuan itu, tertuduh mengakui bertindak sebagai ‘admin’ Facebook terbabit selain menemui beberapa pencarian yang pernah dilakukan tertuduh sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.